Sunday 29 July 2012

Kemelut Hudud - Karpal vs Nasrudin

Venue : Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru, Kuala Lumpur

Event : Sidang Media Dr Hasan Ali

Date : 28/7/2012 @ 12.00 pm




KENYATAAN AKHBAR YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
PRESIDEN JATI DAN ADUN GOMBAK SETIA

1.   ISU HUDUD

Sekali lagi isu mengenai Negara Islam dan perlaksanaan Hudud ditimbulkan dan mendapat liputan media. Dalam debat bersama Ustaz Fathul Bari, Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi memberitahu bahawa Karpal Singh dan DAP telah menunjukkan sifat berlembut dan mula memahami hasrat menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan Hudud. Tetapi observasi itu disanggah keras oleh Karpal Singh dengan menempelak Ustaz Nasrudin yang dianggapnya sebagai pimpinan muda dalam ranking yang agak rendah dalam hirarki kepimpinan PAS. Karpal mengulang beberapa kali bahawa beliau dan DAP tidak pernah bersetuju dengan perjuangan PAS itu dan PAS sememangnya telah menggugurkan sama sekali hasratnya untuk menubuh Negara Islam dan melaksnakan Hudud seperti yang di dakwa oleh Karpal dalam Muktamar PAS tahun lalu. Pemerhati politik ragu dengan dakwaan Karpal tersebut. Mana mungkin PAS meninggalkan terus Negara Islamnya sebaliknya menganjurkan perlaksanaan negara berkebajikan.

Mursyidul Am PAS nampaknya terus bertekad untuk melaksanakan Hudud di negeri Kelantan. Seperti yang diketahui, Karpal dan DAP juga menyanggah saranan tersebut. Terakhir Mursyidul Am PAS terus menyuarakan perkara yang sama.

Persoalannya ialah, benarkah dakwaan Karpal Singh bahawa PAS telah sama sekali menggugurkan hasratnya untuk menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan Hudud. Kedua-dua perkara ini sememangnya menjadi tonggak perjuangan PAS sejak parti Islam itu ditubuhkan lebih 60 tahun yang lalu.

PKR juga kelihatan konsisten tidak bersetuju dengan matlamat penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan Hudud yang diperjuangkan oleh PAS. Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty menegaskan baru-baru ini bahawa perlaksanaan hudud tidak terdapat dalam Buku Jingga yang menjadi asas persetujuan bersama Pakatan Rakyat. Manakala yang terakhir, Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar secara terbuka bersetuju dengan pandangan Karpal Singh dan DAP yang tidak bersetuju dengan perjuangan Negara Islam dan perlaksanaan Hudud oleh PAS.    

Saya berpendapat pimpinan tertinggi PAS perlu menjelaskan :

a) Samada apa yang didakwa oleh DAP itu benar-benar menggambarkan apa yang telah diputuskan dalam muktamar tahun lalu iaitu PAS tidak lagi memperjuangkan Negara Islam dan perlaksanaan hudud;

b) Adakah benar negara berkebajikan sememangnya menjadi pengganti kepada negara Islam dan seterusnya akan menjadi agenda utama perjuangan PAS;

c) Adakah benar tindakan PAS menggugurkan agenda Negara Islam dan perlaksanaan Hudud itu telah diputuskan dengan persetujuan DAP dan PKR

Sebelum kita mendapat jawapan yang pasti daripada pimpinan tertinggi PAS, setakat apa yang dipaparkan di dalam media, jelas kelihatan bahawa pimpinan PAS tidak kira kedudukan mereka, tidak diizinkan sama sekali menimbulkan isu negara Islam dan perlaksanaan Hudud. Negara Islam dan Hudud, daripada muktamar yang lalu sudah menjadi taboo dan digantikan dengan negara berkebajikan yang beroperasi dalam kerangka negara sekular.

Jika ini berlaku, saya amat khuatir Malaysia akan menjadi negara sekular yang memberi ruang luas kepada fahaman liberalisme, anti agama, suburnya budaya hedonisme dan terurainya sebarang ikatan agama dalam proses pembangunan negara dan umat.

Saya tidak dapat menggambarkan ketika inipun masyarakat sudah konfius dan hilang arahtuju serta jatidiri. Bayangkan apa akan terjadi sekiranya Malaysia menjadi negara yang sekular dibawah telunjuk DAP dan PKR.

Sehingga ini tidak banyak respon daripada pimpinan PAS mengenai isu terbaru ini. Golongan parasit terus membisu. Tidak ada seorangpun di antara mereka, pemuda, muslimat atau pimpinan pusat yang tampil kehadapan sekurang-kurangnya memberi sokongan moral kepada Ketua Dewan Pemuda PAS yang digasak oleh pengerusi DAP.

Begitulah longgarnya ukhuwwah dikalangan pimpinan tertinggi parti Islam itu. Itulah juga bahananya ahli PAS memilih barisan pimpinan dari kalangan parasit-parasit yang kepala mereka hanya terbayang Putrajaya sahaja. Ini jugalah harga yang perlu dibayar oleh ahli dan penyokong parti Islam itu. Harga ini bertambah mahal sekiranya keputusan PRU ke-13 menyebelahi Pakatan Rakyat.



No comments:

Post a Comment