Wednesday 10 October 2012

Dr Hasan sependapat dan menyokong Ust Nasharuddin


KENYATAAN AKHBAR YB DATO’ DR HASAN BIN MOHAMED ALI
PRESIDEN JATI, MALAYSIA


Kenyataan YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa sewaktu membentangkan kertas kerja di dalam Seminar Dakwah Islamiyyah anjuran MUAFAKAT di PWTC kelmarin telah menimbulkan berbagai reaksi daripada pimpinan PAS dan DAP.

Pimpinan PAS menganggap kenyataan YB Ustaz Nasharuddin sebagai pendapat peribadi tidak mewakili parti. Sementara pimpinan DAP mahu melihat pimpinan tertinggi PAS mengambil tindakan terhadap YB Ustaz Nasharuddin yang menyentuh kaitan DAP dengan pembentukan Malaysia sebagai Negara Kristian.

Bagi saya YB Ustaz Nasharuddin hanya mengulangi pendirian beliau terhadap masalah besar yang sedang dihadapi oleh PAS. Antaranya PAS terpaksa tunduk kepada DAP dan PKR berhubung dengan Negara Islam dan Hudud. PAS juga didakwa menjadikan isu Negara Islam sebagai isu kedua manakala mendapatkan kuasa dengan menawan Putrajaya sebagai matlamat utama.

Ustaz Nasharuddin tidak berganjak dari segi posisi yang beliau ambil mengenai penguasaan DAP dan PKR terhadap PAS dan juga penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh pimpinan DAP dan PKR.

Ada di antara pimpinan PAS seperti biasa mendakwa Ustaz Nasharuddin mempunyai agenda politik tersendiri yang dikaitkan dengan agenda UMNO.

Jelas kelihatan pimpinan PAS benar-benar ketandusan modal sehingga mengambil jalan pemikiran yang paling mudah dan dangkal bahawa sebarang kenyataan yang bertentangan dengan kemahuan golongan parasit dalam PAS pada setiap ketika dikaitkan dengan UMNO.

Adakah kenyataan-kenyataan yang hampir serupa nadanya yang keluar dari mulut Ketua Dewan Ulama, Timbalan Murshidul Am PAS dan lain-lain pemimpin yang mengeluarkan kenyataan yang agak keras mengenai halatuju PAS dewasa ini juga dikaitkan dengan UMNO? Adakah semua pendapat yang menyelar PAS sudah tergelincir daripada landasan perjuangan menegakkan Negara Islam dan melaksanakan Hudud juga didalangi oleh UMNO? Adakah suara-suara yang semakin lantang di kalangan ahli dan penyokong PAS di merata tempat menyuarakan ketidakrelaan mereka menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR juga kerja UMNO?

Pimpinan PAS yang tidak sedarkan diri ini perlu melihat ke arah cermin menyaksikan wajah sendiri disamping  melihat kerja-kerja 2 lagi rakan kongsi mereka DAP dan PKR. Kedua-dua rakan kongsi  ini dikatakan begitu licik dan semakin berani mengutuk dan menghina Islam.  
  
Reaksi pemimpin-pemimpin tahap kedua dan tahap ketiga dalam hierarki PAS seperti yang di lapurkan bagi saya tidak lebih daripada memberi gambaran darjah kecelaruan dan kegoyahan PAS untuk menghadapi PRU ke 13. Saya mendapat tahu dalam perjumpaan-perjumpaan yang diadakan di berbagai peringkat, pimpinan tidak dapat berhujah dan memberi jawapan yang memuaskan kepada ahli dan penyokong parti terutama yang berkaitan dengan isu PAS terpaksa tunduk kepada kandungan Buku Jingga dan mengenepikan Kitab Allah yang menghendaki hambaNya melaksanakan tatacara hidup berpaksikan Islam.

Sekali lagi saya menyokong pendirian dan ketegasan yang ditunjukan oleh YB Ustaz Nasharuddin. Dalam banyak hal saya sependapat dengan beliau terutama dalam perkara-perkara yang bersifat fundamental seperti Negara Islam dan Hudud. Juga termasuk usaha mempertahankan maruah Islam. Saya bersetuju kita tidak perlu berkompromi dalam perkara-perkara pokok ini.

Saya gembira melihat Majlis Syura Ulama telah mula kembali berwibawa. Saya harap Majlis Syura Ulama dapat mengambil tindakan drastik dalam masa terdekat membebaskan PAS daripada musuh-musuh Islam dari luar dan golongan parasit dari dalamnya.


Pejabat Operasi Jati
Taman Tun Dr Ismail,
10 Oktober 2012

No comments:

Post a Comment